Pada sekitar tahun 1980 ketika dolar Zimbabwe diperkenalkan nilainya adalah setara dengan dolar Amerika Syarikat. Namun, 29 tahun kemudian iaitu pada tahun 2009 1 dolar Amerika bersamaan dengan 0.00276319 dolar Zimbabwe.
Perkara ini berlaku disebabkan kegagalan ekonomi dan inflasi yang sangat teruk di Zimbabwe sehingga menyebabkan matawang dolar Zimbabwe sudah tiada nilai dan telah digantung.
Kadar inflasi yang berlaku di Zimbabwe ini mencatat sejarah apabila ia merupakan inflasi terburuk dalam sejarah manusia.
Sejarah Zimbabwe
Pada awalnya ekonomi Zimbabwe berada dalam keadaan yang baik.
- Pengeluaran gandum untuk tahun tanpa kemarau adalah lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.
- Industri tembakau juga berkembang maju
- Indikator ekonomi turut menunjukkan ekonomi negara itu berada di tahap yang kuat.
Krisis ekonomi di negara ini bermula sejak tahun 1988 apabila kadar faedah yang tinggi dan inflasi mencetuskan rusuhan dan sokongan besar-besaran.
Tahun berikutnya Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa pula menangguhkan bantuan kepada Zimbabwe kerana perbezaan dasar dengan kerajaan.
Pada akhir 1990-an kerajaan telah mengimplementasi reformasi tanah yang bertujuan menghalau pemilik tanah orang berkulit putih dan memberikan tanah tersebut kepada petani berkulit hitam.
Malangnya, petani berkulit hitam ini tidak mempunyai sebarang pengalaman atau latihan dalam pertanian.
Krisis ini berterusan dari tahun ke tahun dan seterusnya sampai ke kemuncak krisis apabila nilai matawang Zimbabwe dolar tidak boleh digunakan lagi akibat masalah hiperinflasi yang melanda ekonomi negara tersebut.
Apa itu Inflasi?
Secara amnya, inflasi bermaksud kenaikan paras harga umum atau dengan kata lebih mudah
Artikel Berkaitan:
Punca Inflasi di Zimbabwe
Sebab terbesar berlakunya hyperinflasi yang tidak terkawal ini adalah disebabkan oleh beberapa perkara:
1) Kerajaan telah Mencetak Wang dengan Kadar yang Melampau
Kerajaan Mugabe mencetak wang yang banyak untuk
- membiayai pembabitan dalam Republik Demokratik Congo
- memenuhi kehendak kewangan semasa Perang Congo Kedua
- memenuhi tuntutan gaji yang tinggi untuk pegawai kerajaan dan juga tentera.
2) Transparency International
Transparency International meletakkan Zimbabwe di tangga ke-157 berkaitan korupsi institusi.
Ini kemudiannya menyebabkan kepercayaan dan keyakinan terhadap negara di masa hadapan serta matawang semakin lemah.
3) Dasar ekonomi yang menghampakan oleh kerajaan
Reformasi tanah mengurangkan hasil pertanian seterusnya memberi kesan kepada ekonomi Zimbabwe terutamanya kepada pertanian tembakau yang mewakili satu pertiga pendapatan daripada pertukaran asing negara.
Industri pembuatan juga mengalami kejatuhan berikutan pimpinan yang tidak berpengalaman.
Hiperinflasi di Zimbabwe
Hiperinflasi berlaku di Zimbabwe apabila kerajaannya mula merampas ladang komersial pada tahun 2000.
Tindakan ini telah menyebabkan pelabur asing melarikan diri, industri perkilangan terhenti dan matawang asing yang diperlukan untuk membeli barangan import mula berkurangan seterusnya menyebabkan kenaikan harga yang mendadak.
Inflasi Meningkat sebanyak 400% - 600%
Pada November 2005 inflasi di Zimbabwe meningkat sebanyak 400%
dan hampir 600% pada Januari 2006.
Ia semakin melambung tinggi apabila kerajaan Zimbabwe mengumumkan bahawa mereka perlu membayar sebanyak 221 juta USD kepada Tabung Kewangan Antarabangsa.
Ia untuk menampung tunggakan yang juga mengancam keanggotaan Zimbabwe dalam organisasi tersebut.
Pada ketika itu rakyat Zimbabwe tidak menggunakan duit syiling walaupun terdapat sen dalam harga barangan.
Jika membayar di kedai, pekedai akan membundarkan harga barang tersebut selain memberikan baucer kedai.
Bukan sahaja barangan import menjadi mahal malah semua barang keperluan harian termasuk gula, telur dan minyak masak juga naik, pada tahap yang melampau.
100 trilion dolar Zimbabwe ini tidak mampu untuk membayar satu perjalanan tambang bas
Zimbabwe pada suatu ketika dahulu juga mempunyai wang kertas yang terbesar di mana mempunyai jumlah “0” paling banyak di dunia.
Di Zimbabwe mereka mempunyai wang kertas yang bernilai 100 billion kali ganda lebih besar.
Wang kertas tersebut dikeluarkan pada tahun 2009 iaitu semasa negara tersebut berada pada tahap kemuncak krisis ekonomi.
Namun, hanya beberapa juta keping wang kertas itu sempat dicetak. Walaupun jumlah sifarnya banyak, tetapi ia bukanlah bernilai tinggi.
Pada waktu tersebut wang kertas 100 trilion dolar Zimbabwe ini tidak mampu untuk membayar satu perjalanan tambang bas.
Malahan, mereka perlu membayar menggunakan seikat wang Zimbabwe untuk membeli sayur-sayuran.
Zimbabwe Menggunakan 9 Matawang Asing
Kini, dolar Zimbabwe tidak digunakan lagi. Matawang itu telah digantung selama-lamanya sejak 12 April 2009 disebabkan hiperinflasi.
Bagi menggantikan matawang dolar Zimbabwe yang telah lumpuh kerajaan Zimbabwe telah menggunapakai sembilan matawang asing. Ini sekaligus menjadikan negara tersebut sebagai negara yang menggunakan matawang yang paling banyak sebagai matawang sah.
Antara matawang yang digunakan termasuklah dolar Amerika,
dolar Australia, Euro, rand Afrika Selatan, Bostwana, pound sterling UK,
rupee India, yuan China dan yen Jepun. Bagi transaksi rasmi pula kerajaan Zimbabwe menggunakan dolar Amerika untuk segala transaksi rasmi mereka.
Usaha Kerajaan Zimbabwe
Inflasi yang terlalu teruk melanda Zimbabwe menyebabkan bank pusat negara itu tidak mampu untuk mencetak wang yang tidak berharga ini. Ini memaksa Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe untuk mengarahkan larangan kenaikan harga barang.
Golongan berpendapatan rendah dan mereka yang tiada simpanan menjadi lebih susah. Ditambah pula dengan tindakan tidak bertanggungjawab peniaga-peniaga yang menggandakan harga barangan ketika waktu pagi dan petang
mengakibatkan nilai gaji pekerja di Zimbabwe hampir tidak bernilai.
Sejak tidak lagi menggunakan matawang dolar Zimbabwe bermula tahun 2009, satu usaha yang diambil oleh Kerajaan Zimbabwe ialah dengan menawarkan pertukaran akaun deposit lama kepada dolar Amerika. Setiap 175 quadrillion dolar Zimbabwe akan diberikan sebanyak USD 5.
Pada tahun 2014 Zimbabwe telah mengeksport barangan bernilai 3,872 juta USD dan mengimport barangan bernilai 6,070 juta USD yang seterusnya menyebabkan ia menjadi perdagangan negatif apabila wang yang keluar lebih tinggi daripada wang masuk dan menyebabkan kekurangan wang tunai.
Masalah ini tidak dapat ditangani oleh Zimbabwe.
Mereka juga tidak dibenarkan untuk membuat pinjaman dari Bank Dunia atau Tabung Kewangan Antarabangsa yang telah menggantung pelan pinjaman Zimbabwe akibat daripada kegagalan ekonomi negara itu.
Jadi, pada tahun 2016 Kerajaan Zimbabwe telah melakukan satu lagi usaha dengan memperkenalkan wang kertas untuk matawang baru sebagai solusi kepada masalah kekurangan wang tunai tersebut dan meningkatkan eksport.
Ia dipanggil sebagai “wang bon” dan dikeluarkan oleh Bank Rizab Zimbabwe sebanyak 10 juta dolar dalam bentuk atau nilai $2 dan $5 yang juga sah untuk digunakan di negara-negara Afrika Selatan. Ketika dikeluarkan nilai matawang ini adalah setara dengan nilai dolar Amerika.
Namun, kewujudan matawang baru ini dikatakan menambahkan lagi kekeliruan di Zimbabwe dan mendapat tentangan dari penduduk tempatan yang membuat demonstrasi membantah pengenalan wang bon tersebut.
Wang bon ini juga mempunyai had pengeluaran iaitu sebanyak $50 sehari dan $150 seminggu. Tujuan kerajaan mengeluarkan arahan seperti ini adalah untuk mengelakkan nilainya susut daripada nilai yang dimahukan iaitu setara dengan nilai dolar Amerika. Namun, kini nilai wang bon itu dikatakan sudah pun mulai susut akibat daripada keengganan sesetengah penjual menggunakan dan menerima wang tersebut.
Kesimpulannya, hiperinflasi yang berlaku di Zimbabwe ini memberikan kesan yang sangat buruk kepada rakyat di negara itu.
Mereka bergelut dengan kelaparan, ketiadaan wang, serta tiada pekerjaan hasil daripada kegagalan pihak kerajaan dalam menguruskan ekonomi negara tersebut.
Dalam tempoh yang panjang hyperinflasi ini telah memusnahka ekonomi dan kehidupan rakyat di Zimbabwe.
Rujukan Artikel: APHD Channel